Faedah-faedah melibatkan diri dalam aktiviti sukan
Thursday, August 22, 2013 ✿ 10:07 PM ✿ 0 Royal Person (s)
Antara faedah bersukan kepada murid ialah
sukan dapat meningkatkan disiplin murid. Hal ini dikatakan demikian
kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai
disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri sendiri untuk mematuhi
peraturan yang ditetapkan. Contohnya setiap pemain dalam sesebuah
pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan
mematuhi arahan jurulatihnya. Oleh itu, secara tidak langsung sukan
juga turuk membentuk disiplin murid tersebut.
Seterusnya, sukan juga penting bagi
melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana
bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan.
Misalnya, seseorang murid yang bersukan pada setiap petang sudah banyak
berpeluh. Oleh itu murid yang aktif bersukan jarang mendapat demam dan
selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan
Selain itu, seseorang murid yang aktif
dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan
sewajarnya. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan
menentukan masa yang sesuai untuk memberikan tumpuan terhadap sukan dan
masa untuknya belajar. Contohnya, seseorang murid yang menyertai
pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh
itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam
pelajaran.
Di samping itu, sukan juga membentuk
murid menjadi seseorang yang berfikiran positif. Hal ini dikatakan
demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir
secara rasional dan berkeyakinan tinggi dan tidak cepat berputus asa.
Contohnya, Datuk Lee Chong Wei tetap tidak berputus asa walaupun gagal
meraih pinggat emas dalam sukan Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan
penting dalam melahirkan murid yang berfikiran positif.
Akhir sekali, murid yang aktif bersukan
juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal
ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang
sukan tidak berminat bermain ‘computer game’ dan tidak akan
menghabiskan masanya untuk berplesiran di pusat beli-belah, menonton
televisyen, dan seumpamanya. Oleh itu, sudah pasti mereka akan
menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat.
Intihanya, jelaslah di sini bahawa
melibatkan diri dalam sukan banyak membawafaedah kepada murid. Oleh itu,
pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di
sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan.
Begitu juga dengan guru-guru mereka perlu melengkapkan diri dengan
pelbagai kemahiran sukan. Saya percaya dengan adanya kerjasama antara
semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di
peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya hanya
‘hangat-hangat tahi ayam’.